Bersegera melakukan amal kebaikan

ISLAM memerintahkan umatnya untuk bersegera dalam melakukan kebaikan kerana ia akan memberikan ketenangan jiwa dan kesejahteraan hidup dunia akhirat. Dalam hal ini, Allah berfirman:
وَسَارِعُوٓا۟ إِلَىٰ مَغْفِرَةٍۢ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا ٱلسَّمَـٰوَ‌ٰتُ
وَٱلْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ ﴿١٣٣﴾
“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertakwa.” – (Surah Ali Imran, ayat 133).
Kekosongan yang tidak diisi dengan amal kebaikan akan terisi oleh keburukan dan begitu juga, kesempatan yang tidak diambil dengan pelbagai alasan, akan segera terlepas daripada tangan. Allah memberi panduan supaya setiap Muslim setelah selesainya menunaikan satu amalan, maka waktu yang kosong hendaknya diisi dengan amalan lain yang berfaedah dan berkebajikan. Bukankah Allah SWT berfirman:
فَإِذَا فَرَغْتَ فَٱنصَبْ ﴿٧
“Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal salih), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal salih yang lain).”– (Surah al-Insyirah, ayat 7).
Oleh itu, rebutlah peluang yang terhidang dihadapan mata dengan sebaik-baiknya kerana kehidupan kita di dalam kubur dan akhirat nanti ditentukan oleh amalan kita pada hari ini. Sehubungan itu, Rasulullah SAW bersabda:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ بَادِرُوا
بِالأَعْمَالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا
وَيُمْسِي كَافِرًا وَيُمْسِي مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا يَبِيعُ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنْ الدُّنْيَا
“Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi (saw) bersabda; Bersegeralah melakukan amal salih (kebajikan), (kerana) akan berlaku fitnah seumpama malam yang gelap gelita. Dalam keadaan itu, terdapat seseorang pada paginya mukmin, petangnya menjadi kafir dan begitu juga sebaliknya seseorang yang petangnya kafir, kemudian pada sebelah paginya, dia menjadi mukmin. Dia menjual agamanya demi kepentingan dunia yang sedikit.” (Hadis Riwayat Muslim).

Dalam hadis ini Nabi SAW menggesa umat Islam memperbanyakkan amalan salih dan bersegera melakukannya serta tidak menangguh amalan terbabit. Akan datang satu masa nanti berlaku fitnah atau malapetaka besar yang menjadi penghalang bagi seorang mukmin melaksanakan amalan kebaikan. Fitnah itu berlaku tanpa diketahui sebabnya dan ia merebak dalam kehidupan manusia tanpa disedari. Malah, mereka tidak dapat menghalang apatah lagi meninggalkannya. Ia umpama malam yang gelap gelita. Pada ketika itu, manusia sibuk menghadapi fitnah ini, maka terhenti amalan kebaikan yang sepatutnya dilakukan demi menjamin kejayaan dunia dan akhiratnya.
Kedahsyatan fitnah dan malapetaka ini berlaku sehingga seseorang Muslim itu menjadi seorang mukmin pada sebelah paginya dengan mendirikan solat, mengerjakan ibadat dituntut, mendirikan syiar Islam, akan tetapi pada waktu petangnya kufur kerana melakukan perbuatan syirik kepada Allah SWT. Hal ini kerana imannya tidak kukuh, sekukuh iman para sahabat yang dididik Rasulullah SAW. Kelemahan iman ini menyebabkan seseorang itu menjual agamanya semata-mata ingin mendapatkan habuan dunia bersifat sementara.
Akhirnya, neraca penilaian di dalam diri seseorang menjadi songsang, sehingga beliau melihat dunia sebagai matlamat utama, dan melihat kebahagiaan akhirat tiada nilai. Kedahsyatan fitnah dan malapetaka ini, menyebabkan iman seorang Muslim itu berdolak-dalik. Sesungguhnya fitnah itu amat berbahaya dan dapat bergerak dengan pantas. Sekali kita membiarkannya maka selanjutnya ia bertapak dan berkembang dalam tubuh kita. Begitu cepat sehingga menyebabkan seseorang bertukar agama, menggadaikannya dengan kesenangan dunia. Maka tidak hairanlah Rasulullah SAW memperingatkan sahabat dan umatnya sewaktu mendepani perjalanan hidup yang penuh cabaran.
Marilah kita menutup pintu fitnah ini dengan memberi sedikit sumbangan tenaga untuk membantu Islam. Allah SWT Maha Adil kerana memberi peluang kepada hamba-Nya, baik miskin mahu pun kaya, sibuk mahu pun lapang, masing-masing memiliki kesempatan untuk melakukan amal kebajikan bagi mendapatkan keredaan Allah SWT.

Doa diterima dalam 3 bentuk

Selalu diperhatikan doa yang dipohon seolah-olah tidak diperkenankan oleh Allah. Adakah itu tanda doa ditolak?. Sebenarnya, doa manusia yang mencukupi syarat diperkenankan oleh Allah dalam tiga bentuk:

Pertama : Diperkenankan doanya ketika di dunia, dengan diberikan apa sahaja hajatnya.

Kedua : Doanya telah diperkenankan, tetapi hajatnya itu disimpan dan akan diberi di hari akhirat.

Ketiga : Doanya telah diperkenankan, tetapi bukan dengan diberikan apa yang diminta, tetapi dengan cara diselamatkan dirinya dari bala bencana.

Daripada Abi Sa'id, sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam : "Tidak ada seorang pun muslim yang berdoa kepada Allah Azza wa Jalla, dengan doa yang tidak berunsurkan maksiat atau memutuskan hubungan darah, melainkan diperkenankan oleh Allah salah satu antara tiga : samada dipercepatkan doanya di dunia, atau disimpan untuknya di hari Akhirat, atau dihindari daripada dirinya satu keburukan seumpamanya".

Apabila para sahabat mendengar ucapan baginda itu, mereka lantas berkata : "Kalau begitu Rasulullah, kita perlu banyakkan berdoa!". Kata baginda : "Demi Allah, banyakkanlah berdoa".(Riwayat Ahmad)

Justeru, manusia selalu tidak menyedari, doanya telah diperkenankan oleh Allah, tetapi dalam bentuk lain. Dia perlu meyakini apa yang ditentukan oleh Allah itulah yang terbaik untuk dirinya di dunia dan akhirat.

Hukum Memberi Salam dan Menjawab Salam Orang Bukan Islam


Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis daripada Abi Hurairah bahawa Rasulullah saw bersabda:
لا تبدأوا اليهود ولا النصارى بالسلام فإذا لقيتم أحدهم في طريق فاضطروه إلى أضيقه

Maksudnya: “Janganlah kamu mulakan orang-orang Yahudi dan juga orang Nasrani dengan salam. Justeru itu, sekiranya kamu menemui seseorang mereka di jalan tolaklah mereka ke jalan yang paling sempit.
Ulama berbeza pendapat dalam menyelusuri fiqh (kefahaman) hadis ini. Kebanyakan mereka memutuskan bahawa haram memulakan ucapan salam kepada mereka. Sebahagian pula berkata ianya tidak haram tetapi makruh.

Seorang fuqaha iaitu Abu Sa`ad berpendapat, sekiranya seorang muslim ingin memberi ucapan hormat kepada bukan Islam dia boleh melakukannya dengan lafaz yang lain daripada lafaz salam. Contohnya dengan menyebut: (هداك الله ) maksudnya moga Allah memberi hidayah kepada kamu atau (أنعم الله صباحك) maksudnya moga Allah memberi anugerah di waktu pagimu ini. Imam Nawawi menyetujui pendapat ini tetapi dengan tambahan: sekiranya ianya diperlu. Antara contoh ucapannya bagi Imam Nawawi ialah ucapan selamat pagi, pagi yang bahagia, pagi yang baik, moga Allah kurniakan kamu dengan kebahagian di waktu pagi, atau nikmat di waktu pagi dan seumpamanya. Sekiranya tidak perlu maka pilihannya ialah jangan mengucapkan apa-apa. (Nawawi, al-Azkar, Dar al-Khayr, hlm. 311)

Pandangan ini sesuai diamalkan oleh umat Islam di Malaysia pada hari ini. Mereka boleh menyatakan selamat pagi kepada bukan Islam tanda penghormatan, atau berdoa moga Allah bagi hidayah atau seumpamanya. Ucapan-ucapan ini boleh merupakan satu pendekatan dakwah.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan hadis daripada Anas bin Malik katanya, Rasulullah saw bersabda:

إذا سلم عليكم أهل الكتاب فقولوا وعليكم

Maksudnya: “Apabila kamu diberi salam oleh ahli Kitab, jawablah “wa`alaikum”.
Imam Bukhari pula meriwayatkan daripada Ibn `Umar –radiyallahu `anhuma- katanya; Rasulullah saw bersabda:

إذا سلم عليكم اليهود فإنما يقول أحدهم السام عليك فقل وعليك

Maksudnya: “Apabila kamu diberi salam oleh Yahudi, mereka hanya menyatakan Assaamu `alaikum (mampuslah kamu), maka jawablah: wa `alaik (dank e atas kamu juga).

Daripada kedua-dua hadis diatas para fuqaha mengambil hukum apabila seorang muslim diberi salam oleh bukan Islam, jawapan yang diberi ialah wa `alaik atau wa `alaikum (dan ke atas kamu juga).

Imam Mawardi menghikayatkan satu wajah di kalangan ashab Syafie iaitu harus memulakan salam kepada bukan Islam dengan menyebut Assalamu `Alaik sahaja bukannya Assalamu `Alaikum. Begitu juga boleh menjawab salam mereka dengan Wa `Alaikum Salam, tapi tidak menyebut warahmatullah. Imam Nawawi menegaskan bahawa kedua-dua pendapat ini adalah janggal dan ditolak. (Nawawi, al-Azkar, Dar al-Khayr, hlm. 311)

Kesimpulannya ialah ucapan salam adalah ucapan khusus untuk umat islam. Justeru, untuk bukan Islam tidak perlu digunakan lafaz salam tetapi boleh digunakan lafaz-lafaz penghormatan yang lain

Nikmat Keimanan


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Alhamdulillah. Marilah pada detik ini sama-sama kita lafazkan kata syukur Alhamdulillah untuk menggambarkan betapa kita merasa bertuah kerana diberikan hidayah iman dan Islam oleh Allah. Juga atas sekian banyak kenikmatan yang dilimpahkan oleh Allah pada setiap detik dan saat kepada kita semua. Mudah-mudahan dengan rasa syukur ini segala nikmat akan ditambah oleh Allah.

سُبْحَانَكَ لاَ نُحْصِيْ ثَنَاءً عَلَيْكَ أَنْتَ كَمَا أَثْنَيْتَ عَلىَ نَفْسِكَ

Keimanan merupakan nikmat yang paling besar dikurniakan oleh Allah kepada manusia. Ini kerana dengan nikmat iman, manusia akan mendapat keselamatan di dunia dan di alam abadi. FirmanAllah:
فَمَنِ اتَّبَعَ هُدَايَ فَلاَ يَضِلُّ وَلاَ يَشْقَى

Maksudnya:
Sesiapa yang mengikut hidayahku, maka dia tidak akan sesat dan tidak akan celaka. (Taha: 123)

Apalah guna kekayaan yang melimpah di dunia sekiranya tidak beriman kerana akhirnya tempat kembali adalah neraka yang membakar. Apalah guna tubuh badan yang sihat sekiranya tidak beriman kerana akhirnya di alam abadi pasti berhadapan dengan alam penuh keseksaan.

Orang yang beriman meskipun miskin di dunia, tetapi tetap kaya di alam abadi. Kebahagian di akhirat pasti menjadi miliknya. Apatah lagi sekiranya diberikan nikmat iman dan kekayaan di dunia. Apatah lagi sekiranya diberikan nikmat kesihatan tubuh badan yang disertai dengan keimanan. Itulah tambahan nikmat atas nikmat!

Namun, sejauh manakah kita merasakan iman itu satu nikmat yang besar yang dikurniakan oleh Allah? Hari ini manusia merasakan nikmat harta dan kesenangan adalah sebesar-besar nikmat. Justeru, mereka berusaha menjaga dan memelihara harta dan kekayaan. Betapa banyak detik masa yang dihabiskan demi untuk menambah harta kekayaan.

Tetapi, bagaimana pula dengan nikmat iman? Adakah cuba dipelihara dengan amalan berpanjangan? Adakah disuburkan dengan ibadah di waktu siang dan malam? Inilah persoalan yang perlu difikirkan bersama.

Seseorang itu boleh menangis kerana kehilangan harta. Menyesali dan meratapi harta yang pergi. Hidup menjadi tidak keruan. Tidurnya tidak lagi nyenyak. Makannya tidak lagi berselera. Semuanya kerana meratapi harta yang lenyap diambil kembali oleh Allah yang sekadar memberi pinjam untuk tempoh yang singkat.

Tapi bagaimana pula dengan nikmat keimanan? Adakah dia juga bersedia menangis atas kehilangan iman? Adakah hatinya menjadi tidak keruan kerana iman yang dirasakan semakin lemah?

Keluarga Ammar bin Yasir di era Mekah di seksa oleh orang Quraisy demi kerana beriman. Yasir dan isterinya Sumayyah akhirnya dibunuh syahid di hadapan mata anaknya Ammar sendiri kerana mempertahankan nikmat iman. Ammar pula telah dipaksa oleh orang kafir Quraisy untuk mengucapkan kata-kata kufur. Beliau akhirnya terpaksa akur setelah menerima penyeksaan yang sangat hebat..

Setelah ungkapan kufur diucapkan beliau dibebaskan oleh orang Quraisy. Namun dia sendiri tidak gembira atas pembebasannya itu. Kerana baginya pembebasan itu diperolehi dengan mengorbankan imannya.

Di kala itulah timbul penyesalan yang tidak terhingga dalam diri beliau. Beliau lantas menangis dan bertemu dengan nabi bertanyakan kedudukan dirinya. Beliau sangat menyayangi imannya. Beliau sangat menyesali sikapnya yang telah menyebut kalimah kufur yang boleh menanggalkan imannya. Adakah rasa sayang pada iman itu juga meraja dalam diri kita pada hari ini?

Apabila Ammar bertemu baginda menyatakan penyesalannya, baginda lantas bertanya; bagaimana hati kamu ketika mengucapkan kata kufur itu? Ammar berkata:

مُطْمَئِنٌّ بالإيمان

Maksudnya:
tenang sepenuhnya dengan keimanan.

Baginda lantas menjelaskan bahawa Ammar masih lagi beriman. Ammar sangat gembira dengan penjelasan nabi. Nikmat iman masih menjadi miliknya. Lantaran kisah ini Allah menurunkan firmanNya:

إلا مَنْ أُكْرِهَ وقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالإِيْمَان

Maksudnya:
Melainkan orang yang dipaksa sedangkan hatinya masih tenang dengan keimanan. (al-Nahl: 106)

Rasulullah SAW sentiasa bersungguh-sungguh menyebarkan dakwah keimanan demi memastikan semua umatnya beriman. Namun, apakan daya baginda apabila ada yang begitu keras menolak dakwah baginda. Lantaran kesungguhan untuk memastikan setiap orang dapat mengecapi nikmat iman, Baginda sentiasa menyalahkan diri baginda apabila ada yang tidak beriman. Rentetan itu Allah menghiburkan hati baginda dengan firmanNya:

فلعلك باخع نفسك على آثارهم إن لم يؤمنوا بهذا الحديث أسفا

Maksudnya:
Boleh jadi kamu (wahai Muhammad) menyalahkan diri sendiri atas sikap mereka sekiranya mereka tidak beriman dengan cerita (iman) ini, kerana merasa teramat sedih. (al-Kahf: 6)

Baginda ingin berkongsi nikmat iman dengan seluruh umatnya. Namun apakan daya baginda. Baginda hanya mampu untuk menyampaikan. Akhirnya Allah yang akan menentukan hidayah. Tidak semua manusia diberikan hidayah iman.

Baginda bersungguh-sungguh mengajak bapa saudara yang disayanginya iaitu Abu Talib untuk beriman hingga ke hujung usianya. Di saat Abu Talib berada diambang kematian baginda datang mengajaknya beriman.

يا عمي قُلْ لا إله إلا الله أَشْهَدْ لَكَ بِهَا عند الله

Maksudnya:
Wahai bapa saudaraku. Ucaplah Lailahaillallah. Nescaya aku memberi kesaksian untukmu di hadapan Allah.

Namun, Abu Jahal yang juga berada di sisi Abu Taluib menghasut beliau. Kata Abu Jahal: “Wahai Aba Talib. Adakah kamu membenci agama bapa kamu sendiri Abdul Muttalib?

Baginda lantas mengulang dakwahnya sehingga kali ketiga.. Namun dihasut pula oleh Abu Jahal. Akhirnya keputusan dibuat oleh Abu Talib dengan katanya: saya kekal dengan agama bapa saya Abdul Muttalib.

Demikianlah nikmat iman tidak menjadi milik Abu Talib. Akhirnya beliau mati dalam keadaan kufur. Meskipun beliau seorang yang baik, yang sentiasa mempertahankan baginda daripada ancaman orang kafir Quraisy, namun kekufurannya itu menjadi tiket untuknya ke neraka Allah. Segala kebaikan yang dilakukan di dunia tidak akan dikira di akhirat kerana beliau tidak memiliki nikmat iman. Nikmat iman adalah tiket untuk segala amalan kebaikan di dunia mendapat pengiktirafan Allah di hari Akhirat.

Apabila Abu Talib mati dalam keadaan kufur, baginda saw menangis. Kenapa? Kerana menyedari hakikat bahawa seorang yang tidak beriman tempatnya adalah neraka. Bapa saudaranya yang disayangi tidak mungkin dapatnya bersamanya di dalam syurga. Adakah kita juga menangis apabila seorang sahabat baik di dunia; susah dan senang dihadapi bersama; berkongsi pelbagai nikmat di alam dunia; tiba-tiba mati dalam kekufuran?

Allah lantas menurunkan satu ayat menjelaskan hakikat nikmat keimanan.

إِنَّكَ لا تَهْدِيْ مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللهَ يَهْدِيْ مَنْ يَشَاءُ

Maksudnya:
Sesungguhnya kamu tidak mampu memberi hidayah kepada orang-orang yang kamu sayang. Tapi Allah memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendakinya. (al-Qasas: 56)

Benar, saudara. Allah memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendakinya. Antara orang dikehendaki Allah beriman ialah kita pada hari ini. Daripada sekian ramai umat manusia yang ada pada hari ini, kita telah dipilih untuk beriman. Tidakkah kita merasa beruntung dan bertuah? Tidakkah kita merasakan betapa ruginya orang-orang yang tidak diberikan nikmat iman?

Marilah kita berdoa kepada Allah agar nikmat keimanan ini akan kekal menjadi milik kita hinggalah Malaikat Maut datang menjemput kita bertemu Allah. Doanya telah di ajar oleh Allah:

رَبَّنَا لاَ تُزِغْ قُلُوْبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً

Maksudnya:
Wahai Tuhan kami. Janganlah Engkau selewengkan hati kami setelah mana Engkau memberi hidayah kepada kami. Dan kurniakanlah kepada kami dari sisi Engkau rahmat kasihan belas.

Inilah doa hamba beriman yang pasrah. Amin..Amin..¦Amin.. Ya Rabbal `Alamin

Kesan Beragama Dalam Kehidupan


Agama dalam Islam disebut sebagai ad-Din. Kalimah ad-Din bermaksud tunduk dan patuh. Ketundukan dan kepatuhan ini merangkumi seluruh aktiviti kehidupan manusia. Justeru, kefahaman beragama dalam Islam tidak sama dengan kefahaman beragama bagi orang lain. Bagi agama lain, agama hanyalah amalan ritual seperti upacara beragama tertentu yang dilakukan pada waktu tertentu.

Tetapi maksud beragama dalam Islam bermaksud berpegang dengan himpunan kepercayaan dan kumpulan peraturan kehidupan yang akan membentuk perilaku dan tatacara kehidupan seseorang.

Kumpulan kepercayaan ini dikenali sebagai aqidah. Ia akan membentuk cara berfikir seorang muslim. Seterusnya menentukan hala tuju hidupnya.

Kumpulan peraturan pula dikenali sebagai Syariat. Ia akan menjadi landasan dan panduan seorang muslim dalam menjalani hidupnya. Dia akan hidup dalam lingkusan dan batasan peraturan yang telah digariskan oleh Allah. Hatta di kala tiada manusia memantau segala perlakuannya, dia tetap mengikat dirinya denganh peraturan kehidupan tersebut.

Justeru, agama Islam yang mengandungi aqidah dan syariat berperanan dalam kehidupan seorang yang menerima Islam sebagai agama untuk menjadikan dirinya seorang yang baik bagi dirinya, baik bagi ahli keluarganya, baik bagi masyarakatnya yang Islam atau tidak, baik bagi negaranya bahkan baik kepada seluruh makhluk Allah yang lain termasuklah binatang dan alam persekitaran.

Ad-Din yang diterima di sisi Allah pula hanyalah Islam sebagaimana firman Allah:

إن الدين عند الله الإسلام

Maksudnya: “Sesungguhnya ad-Din (agama) yang (diterima) di sisi Allah ialah Islam.

Inilah aqidah yang diyakini oleh setiap muslim. Setiap muslim meyakini hanya Islam agama yang benar. Seorang muslim tidak menganggap semua agama sama. Seruan untuk menganggap semua agama sama adalah seruan kekufuran kerana ia bermaksud kita boleh memilih apa sahaja agama kerana semuanya nanti akan membawa ke syurga. Semua agama munghkin berusaha untuk mencari jalan ke syurga. Namun, hanya Islam yang membawa manusia ke syurga. Inilah aqidah muslim.

Ia ditegaskan oleh Allah dalam firmanNya:

قل يا أيها الكافرون لا أعبد ما تعبدون ولا أنتم عابدون ما أعبد ولا أنا عابد ما عبدتم ولا أنتم عابدون ما أعبد لكم دينكم ولي دين

Maksudnya:

Katakanlah wahai Muhammad! Wahai orang yang kafir. Saya tidak menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukannya penyembah apa yang saya sembah. Dan saya sama sekali bukan penyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu juga bukan penyembah apa yang saya sembah. Bagi kamu agama kamu .Bagi saya agama saya.

Seorang muslim mesti merasa megah dengan agama Islam. Kemegahan inilah yang menjadikan dirinya tanpa segan silu untuk mempraktikkan segala amalan beragama. Malah tanpa segan silu mempromosinya kepada seluruh umat manusia atas kesedaran untuk berkongsi kebaikan dengan seluruh manusia. Namun, rasa megah ini tidak pula membawa kepada sikap tidak menghormati agama lain. Ini kerana Islam menegaskan bahawa tiada paksaan dalam beragama sebagaimana firman Allah:

لا إكراه في الدين

Maksudnya: “Tiada paksaan dalam beragama.”

Seorang muslim ialah seorang yang menerima Islam sebagai agama. Islam bermaksud menyerah dan tunduk. Iaitu menyerah diri serta tunduk kepada segala kehendak Allah. Justeru, seorang muslim ialah seorang yang bersedia menyerahkan dirinya kepada Allah serta tunduk kepada segala kehendak Allah yang berupa perintah dan larangan.

Syiar hidup seorang muslim ialah :

إن صلاتي ونسكي ومحياي ومماتي لله رب العالمين

Maksudnya: “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan yang mencipta, memiliki dan menguruskan seluruh alam”.

Penyerahan diri ini menjadikan seseorang manusia sentiasa tenang menghadapi segala pancaroba hidup. Dia menyerahkan dirinya bulat-bulat kepada Allah. Dia tidak akan terkeluar dari landasan peraturan yang digariskan oleh Allah. Dia hanya melakukan apa yang disuruh oleh Allah dan meninggalkan apa yang dilarang. Perintah dan larangan Allah pasti membawa kepada kebahagian dan kebaikan. Dengan itu hidupnya sentiasa dalam keadaan bahagia, aman dan tenteram. Inilah janji Allah:

فمن اتبع هداي فلا يضل ولا يشقى ومن أعرض عن ذكري فإن له معيشة ضنكا

Maksudnya: “Sesiapa yang mengikut petunjukKu dia tidak akan sesat dan mendapat kecelakaan.Dan sesiapa yang berpaling daripada peringatanKu, baginya kehidupan yang amat sukar.”

Segala nikmat diterima dengan syukur. Segala musibah diterima dengan sabar. Kekayaan diterima dengan syukur dengan cara menggunakannnya untuk jalan kebaikan. Dia tidak akan menjadi pemboros, sombong dan rakus dengan kekayaan sehingga menindas golongan miskin. Malah dia menjadi seorang dermawan. Sebahagian hartanya dibelanjakan untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan. Ini dilakukan dengan keyakinan bahawa itulah yang disuruh oleh Allah. Hartanya adalah milik Allah. Justeru, dia terikat untuk membelanjakannnya menurut kehendak Allah. Antara kehendak Allah ialah membelanjakannnya untuk faqir miskin. Inilah hidup seorang muslim yang kaya.

Kemiskinan pula di terima dengan dada lapang sebagai ujian. Seorang muslim tidak akan menjadi penjenayah untuk mengatasi kemiskinannya. Baginya kemiskinan di dunia tidak bererti miskin di akhirat. Dia boleh memperolehi keakyaan di hari Akhirat sekiranya bersedia terikat dengan peraturan Tuhan. Justeru seorang muslim yang miskin akan sentiasa redha dengan keadaan dirinya. Dia tidak menyalahkan orang lain. Dan tidak akan menyusahkan orang lain.

Apabila seseorang menyerah dirinya kepada Allah, segala perlakuannya tidak akan menurut hawa nafsu. Masalah yang dihadapi oleh manusia hari ini ialah sikap “ingin memuas hati dan kehendak sendiri”. Sikap sebegini menjadikan manusia tidak mengambil kira kepentingan orang lain. Nafsu selalu mendorong manusia ke arah kejahatan. Ini ditegaskan oleh Allah dalam firmanNya:

إن النفس لأمارة بالسوء

Maksudnya: “Sesungguhnya nafsu sentiasa menyuruh melakukan kejahatan.”

Apabila manusia menurut nafsu, dirinya akan menjadi sarang segala kerosakan dan kejahatan. Inilah penyebab kepada berleluasanya pembunuhan, jenayah rompakan dan kecurian. Justeru itu Allah menempelak golongan yang bertuhankan nafsu dengan firmanNya:

أفرأيت من اتخذ ألاهه هواه

Maksudnya

Tidakkah kamu melihat kepada orang yang menjadikan nafsunya sebagai tuhan?

Manusia yang hidup bertuhankan nafsu akan membunuh untuk memuaskan nafsunya. Manusia yang bertuhankan nafsu bersedia merompak dan mencuri untuk mendapatkan harta dengan jalan mudah bagi memuaskan nafsu keinginannya.

Dia akan melakukan apa sahaja demi kepuasan diri. Akibatnya berlakulah vandalisma iaitu merosakkan harta awam semata-mata untuk kepuasan diri.

Islam menjadikan seseorang itu menjadi manusia yang seimbang. Dia kan menjadi warganegara yang baik untuk negaranya. Ia menjadi penyumbang kepada ketamadunan negaranya. Ia akan bekerja keras demi menyebarkan kebaikan dalam masyarakatnya. Moto hidupnya ialah “menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran.”

Seorang muslim juga mempunyai akhlak yang baik. Sentiasa menghormati ahli masyarakat baik yang tua atau yang muda. Ini kerana dia berpegang dengan sabda baginda:

اتق الله حيثما كنت وأَتْبِعِ السَّيِّئَةََ الحسنةَ تَمْحُها وخَالِقِ الناسَ بخُلُقٍ حَسَنٍ

Maksudnya: “Bertaqwalah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada, ikutilah kejahatan yang kamu lakukan dengan kebaikan nescaya kebaikan itu menghapuskan kebaikan dan berakhlaklah dengan manusia dengan akhlak yang baik.”

Doa Rabitah - Penutup al-Maathurat


Doa Rabitah - m-Mathurat
Terjemahan
Ya Allah, menjelanglah kini malam (ciptaan)-Mu, beredarlah sudah siang-Mu, inilah keluhan suara dan pinta para du'at-Mu, maka oleh itu ampunkanlah dosaku.
Ya Allah, Engkau mengetahui bahawa hati - hati ini (bayangkan wajah - wajah rakan persejuangan) telah berkumpul kerana mengasihi-Mu, bertemu untuk mematuhi (perintah-Mu), bersatu memikul beban dakwah-Mu. Hati - hati ini telah mengikat janji setia mendaulat dan menyokong syariat - Mu. Maka eratkanlah ya Allah ikatannya.
Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini. Tunjukkanlah kepada hati - hati ini dengan limpahan iman/keyakinan dan keindahan tawakkal kepada - Mu. Hidup suburkan hati - hati ini dengan pengetahuan sebenar tentang - Mu Jika Engkau mentakdirkan mati maka matikanlah pemilik hati - hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agama - Mu. Engkau lah sebaik - baik sandaran dan sebaik - baik penolong.
Ya Allah, perkenankanlah permintaan ini. Ya Allah restuilah dan sejahterakanlah junjungan kami Muhammad, keluarga dan para sahabat baginda semuanya. – Ameen -