Bersegera melakukan amal kebaikan

ISLAM memerintahkan umatnya untuk bersegera dalam melakukan kebaikan kerana ia akan memberikan ketenangan jiwa dan kesejahteraan hidup dunia akhirat. Dalam hal ini, Allah berfirman:
وَسَارِعُوٓا۟ إِلَىٰ مَغْفِرَةٍۢ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا ٱلسَّمَـٰوَ‌ٰتُ
وَٱلْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ ﴿١٣٣﴾
“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertakwa.” – (Surah Ali Imran, ayat 133).
Kekosongan yang tidak diisi dengan amal kebaikan akan terisi oleh keburukan dan begitu juga, kesempatan yang tidak diambil dengan pelbagai alasan, akan segera terlepas daripada tangan. Allah memberi panduan supaya setiap Muslim setelah selesainya menunaikan satu amalan, maka waktu yang kosong hendaknya diisi dengan amalan lain yang berfaedah dan berkebajikan. Bukankah Allah SWT berfirman:
فَإِذَا فَرَغْتَ فَٱنصَبْ ﴿٧
“Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal salih), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal salih yang lain).”– (Surah al-Insyirah, ayat 7).
Oleh itu, rebutlah peluang yang terhidang dihadapan mata dengan sebaik-baiknya kerana kehidupan kita di dalam kubur dan akhirat nanti ditentukan oleh amalan kita pada hari ini. Sehubungan itu, Rasulullah SAW bersabda:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ بَادِرُوا
بِالأَعْمَالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا
وَيُمْسِي كَافِرًا وَيُمْسِي مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا يَبِيعُ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنْ الدُّنْيَا
“Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi (saw) bersabda; Bersegeralah melakukan amal salih (kebajikan), (kerana) akan berlaku fitnah seumpama malam yang gelap gelita. Dalam keadaan itu, terdapat seseorang pada paginya mukmin, petangnya menjadi kafir dan begitu juga sebaliknya seseorang yang petangnya kafir, kemudian pada sebelah paginya, dia menjadi mukmin. Dia menjual agamanya demi kepentingan dunia yang sedikit.” (Hadis Riwayat Muslim).

Dalam hadis ini Nabi SAW menggesa umat Islam memperbanyakkan amalan salih dan bersegera melakukannya serta tidak menangguh amalan terbabit. Akan datang satu masa nanti berlaku fitnah atau malapetaka besar yang menjadi penghalang bagi seorang mukmin melaksanakan amalan kebaikan. Fitnah itu berlaku tanpa diketahui sebabnya dan ia merebak dalam kehidupan manusia tanpa disedari. Malah, mereka tidak dapat menghalang apatah lagi meninggalkannya. Ia umpama malam yang gelap gelita. Pada ketika itu, manusia sibuk menghadapi fitnah ini, maka terhenti amalan kebaikan yang sepatutnya dilakukan demi menjamin kejayaan dunia dan akhiratnya.
Kedahsyatan fitnah dan malapetaka ini berlaku sehingga seseorang Muslim itu menjadi seorang mukmin pada sebelah paginya dengan mendirikan solat, mengerjakan ibadat dituntut, mendirikan syiar Islam, akan tetapi pada waktu petangnya kufur kerana melakukan perbuatan syirik kepada Allah SWT. Hal ini kerana imannya tidak kukuh, sekukuh iman para sahabat yang dididik Rasulullah SAW. Kelemahan iman ini menyebabkan seseorang itu menjual agamanya semata-mata ingin mendapatkan habuan dunia bersifat sementara.
Akhirnya, neraca penilaian di dalam diri seseorang menjadi songsang, sehingga beliau melihat dunia sebagai matlamat utama, dan melihat kebahagiaan akhirat tiada nilai. Kedahsyatan fitnah dan malapetaka ini, menyebabkan iman seorang Muslim itu berdolak-dalik. Sesungguhnya fitnah itu amat berbahaya dan dapat bergerak dengan pantas. Sekali kita membiarkannya maka selanjutnya ia bertapak dan berkembang dalam tubuh kita. Begitu cepat sehingga menyebabkan seseorang bertukar agama, menggadaikannya dengan kesenangan dunia. Maka tidak hairanlah Rasulullah SAW memperingatkan sahabat dan umatnya sewaktu mendepani perjalanan hidup yang penuh cabaran.
Marilah kita menutup pintu fitnah ini dengan memberi sedikit sumbangan tenaga untuk membantu Islam. Allah SWT Maha Adil kerana memberi peluang kepada hamba-Nya, baik miskin mahu pun kaya, sibuk mahu pun lapang, masing-masing memiliki kesempatan untuk melakukan amal kebajikan bagi mendapatkan keredaan Allah SWT.

0 comments:

Post a Comment