Hidup Sihat Tanpa Maksiat


Hidup Sihat Tanpa Maksiat
Ustaz Roslan Mohamed

 Ramai orang berbelanja besar untuk mendapatkan kesihatan tubuh badan, kulit dan sebagainya. Namun, kita tidak mahu sekadar mencari kesihatan untuk di dunia, tetapi kita juga ingin sihat iman, sihat ilmu, sihat dengan Al-Quran, sihat dengan amal soleh. Oleh itu, kita perlu kembali kepada Allah. 

Inilah jaminan Allah – orang yang berpegang pada agama Allah akan diberi petunjuk ke jalan yang lurus. 

Ada maksiat berbentuk zahir dan ada juga yang berbentuk batin. Segala ciptaan dan kurniaan Allah perlu kita pergunakan ke jalan yang Allah redhai – contohnya mata perlu digunakan untuk membaca Al-Quran, bukannya melihat perkara yang keji.  

 Hidup tanpa maksiat bermakna tak buat dosa langsungkah? Kita rujuk semula kepada hadis Nabi SAW yang dinyatakan tadi - “Sebaik-baik manusia ialah mereka yang sentiasa kembali (bertaubat) kepada Allah”. Oleh itu, kita perlu ingat betul-betul ingat perkara ini – segera bertaubat apabila tersilap. Maksiat, jika dibiarkan berkekalan, akan menenggelamkan kita di dunia dan juga di akhirat nanti.

Saya kongsikan beberapa kesan maksiat, seperti yang saya kumpulkan daripada beberapa ulama:
· Maksiat boleh menghalang ilmu datang ke hati kita. Imam Syafie sendiri pernah mengadu yang dia tidak ingat sesuatu, lalu gurunya menasihatkan dia agar meninggalkan maksiat. Oleh itu, kita perlu semak diri dan bertaubat, jika didapati kita sukar mendekatkan diri kepada Al-Quran dan majlis ilmu.
·  Maksiat menjauhkan jarak kita dengan Allah. Allah tak akan kenal hambanya yang buat maksiat. Allah berfirman yang bermaksud,”Barangsiapa kalangan hamba yang buat maksiat, Allah akan sesatkannya”. Jika Allah sudah jauh, ada lagi yang ada pada kita.
· Maksiat menjadikan hati dan jiwa-raga gelap. Ibnu Abbas berkata : “Sesungguhnya perbuatan baik mendatangkan percerahan pada wajah dan cahaya pada hati, kelapangan dalam rezeki, kekuatan pada badan dan kecintaan pada ibadat. Sebaliknya perbuatan buruk atau maksiat membawa ketidak-ceriaan ada wajah, kegelapan di alam kubur, kegelapan dalam hati, kelemahan tubuh-badan, susutnya rezeki dan kebencian kepada makhluk Allah SWT”. Kata-kata ini menyimpulkan kesan-kesan maksiat kepada seseorang – hilangnya seri wajah, hilangkan keinginan beribadat kepada Allah, hilangnya minat untuk mencari ilmu, hilangnya keberkaran rezeki. Maksiat turut memberi kesan kepada keluarga dan orang di sekeliling kita. Orang yang baik pula, InsyaAllah akan cerah wajahnya, biarpun tanpa kosmetik yang mahal. Rezeki juga akan diberkati biarpun jumlahnya kecil dan juga kesihatan tubuh badan. Pepatah Arab mengatakan ada dua jenis orang. Pertama – orang bahagia, iaitu jika dia ada, boleh menggembirakan orang dan apabila tiada, orang lain akan tercari-cari dia. Kedua pula orang yang jahat, tiada dia, orang gembira, ada dia, orang akan susah.
· Satu maksiat akan menumbuhkan maksiat yang lain pula. Percayalah yang ianya takkan berhenti di situ sahaja kerana syaitan tidak pernah leka atau penat daripada berusaha untuk menyesatkan umat Islam.

Senarai soalan dan jawapan:

S: Apabila melakukan maksiat, kita berdosa dan akan timbul satu titik hitam dalam hati dan menyebabkan hati sakit. Bagaimana untuk seseorang itu istiqamah setelah bertaubat nasuha?
J: Dosa itu adalah virus. Nabi bersabda yang dosa akan meninggalkan titik hitam dalam hati. Ulama silam ada menyatakan agar kita jangan pandang remeh akan dosa kecil kerana dari situ boleh timbul dosa besar pula. Inilah hakikatnya, jarang ada orang terus buat dosa besar, biasanya dimulakan dengan dosa kecil sahaja. Contohnya: bermula dengan keluar berdua lelaki dan perempuan untuk berbuka puasa. Walaupun nampak kecil, jika tidak dikawal, boleh membawa kepada zina. Orang yang bertaubat perlu berazam untuk meninggalkan dosanya dan yakin yang Allah SWT menerima taubatnya.

 S: Akal dan nafsu merupakan anugerah kepada manusia dan membezakan manusia dan haiwan. Apabila berlaku maksiat di kalangan orang berilmu dan kuat agama, umum akan mengatakan yang itu merupakan satu ujian. Apa komen ustaz?
J: Imam Abu Hanifah, seorang yang berilmu dan tinggi darjatnya sendiri mengaku yang dia lupa kerana dosanya pada Allah. Inilah hakikat kehidupan kita sebagai manusia. Namun Allah itu tidak zalim. Kita perlu menggunakan akal dan nafsu yang dikurniakan dengan betul. Akal perlu kita didik dengan ilmu agar kita boleh jelas memilih yang hak dan batil. Nafsu pula perlu disuntik dengan iman agar dapat memberi semangat untuk melakukan ibadat. Oleh itu, kita perlukan kedua-dua akal dan nafsu. Tanpa salah satunya, manusia tidak akan sempurna.

S: Gejala zina melarat kepada gejala membuang anak sehingga melibatkan kematian bayi tersebut. Adakah ianya dikira sebagai pembunuhan? Bagaimana untuk mereka bertaubat nasuha setelah insaf.
J: Zina sendiri merupakan dosa besar, ditambah pula dengan dosa besar membunuh anak sedangkan anak itu suci bersih daripad dosa ayah ibunya. Anak itu rezeki daripada Allah dan tak sewajarnya diperlakukan sebegitu. Jika telah berbuat silap, ruang untuk bertaubat masih terbuka kerana Allah itu Maha Kaya. Sebesar mana sekalipun dosa yang kita lakukan, Allah akan sedia menerima taubat kita dengan syarat:
·                     Buang akar umbi maksiat yang dibuat
·                     Berazam meninggalkan terus dosa besar itu
·                     Menyesal bersungguh-sungguh
·                     Pintu taubat itu sentiasa terbuka, apa yang ditakuti ialah hati yang gelap dan sukar melihat jalan kembali kepada Allah.

S: Setiap manusia tidak terkecuali daripada berbuat dosa. Bagaimana pula jika seseorang telah menjaga hubungannya dengan Allah dan bertaubat serta mengerjakan haji, umrah dan sebagainya, tetapi masih ada dosa dengan manusia? Adakah amalannya akan diterima?

J: Walau banyak mana sekalipun dosa kita, kita perlu ingat yang Allah itu Maha Kaya. Apabila bertaubat Allah akan merahmati kita dengan cahaya keimanan. Orang yang taubatnya diterima tidak berdosa lagi dengan Allah. Oleh itu, kita perlu kekal dalam bertaubat. Orang bertaubat akan mendapat kebaikan dalam bentuk taqwa dan mendapat bantuan daripada Allah. Allah akan mudahkan laluan ilmu baginya. Allah akan tutup kesalahannya dan Allah akan gandakan kebaikan kepadanya. Orang yang bertaubat, Allah akan sayang kepadanya. Pintu taubat itu sentiasa bersama kita. Ada dua bentuk kunci – kesedaran dan keinginan.

Ulama berkata yang sendi kepada kehidupan yang baik adalah dengan menjaga baik perhubungan dengan Allah dan juga manusia. Kedua-duanya bersifat saling melengkapi. Dalam surah Al-Qariah, Allah menyebut hakikat kebahagian jika kita bawa pulang pahala ke akhirat nanti. Pahala yang banyak melibatkan kebaikan kepada manusia lain juga. Oleh itu, kita perlu menjaga perhubungan baik sesama manusia.


  




0 comments:

Post a Comment